belajar tajwid

Tajwīd (تجويد) dari segi bahasanya bermaksud melakukan sesuatu dengan elok yang berasal dari perkataan Jawwada. Pada istilah syarak, tajwid adalah ilmu yang boleh mengenalkan tempat bagi tiap-tiap huruf dengan memberi apa yang patut baginya dari segi sifat-sifat huruf itu seperti menyatakan dan menyembunyikan atau apa yang dimestikan bagi huruf-huruf itu dari sifat-sifat luar dari segi panjang, pendek, tebal, tipis dan sebagainya. Anggaran ilmu tajwid itu serta hukum tajwid ialah menyampaikan dengan sedalamnya kesempurnaan tiap-tiap sebutan dari ayat al-Quran. Para ulama menyatakan yang hukum bagi mempelajari hukum tajwid itu adalah fardhu kifayah tetapi mengamalkan ilmu tajwid ketika membaca al-Quran adalah fardhu ain atau wajib kepada lelaki dan perempuan yang mukallaf. Hukum isti’azah dan basmalah Isti’azah adalah lafaz: “A’uzubillahi minasy syaitaanir rajiim” (ﺍﻋﻮﺬ ﺑﺎﻟﻠﻪ ﻣﻦ ﺍﻟﺸﻴﻄﻥ ﺍﻟﺮﺟﻴﻢ) manakala basmalah adalah lafaz: “Bismillahir rahmaanir rahiim” (ﺑﺴﻢ ﺍﻟﻠﻪ ﺍﻟﺮﺤﻤﻦ ﺍﻟﺮﺤﻴﻢ). Terdapat empat cara membaca iati’azah, basmalah dan surah: Memutuskan isti’azah (berhenti) kemudian baru membaca basmalah. Menyambungkan basmalah dengan surah tanpa berhenti. Membaca isti’azah dan basmalah terus-menerus tanpa henti. Membaca isti’azah, basmalah dan awal surah terus-menerus tanpa henti. Terdapat empat cara membaca basmalah di antara dua surah dalam hukum tajwaid. Tiga daripadanya adalah harus dan satu lagi adalah tidak harus. Yang harus adalah: Mengasingkan basmalah denga surah Menghubungkan basmalah dengan awal surah Menghubungkan kesemuanya Bacaan bagi yang tidak harus pula adalah: Menghubungkan akhir surah dengan basmalah lalu berhenti. Kemudian, barulah membaca surah yang seterusnya tanpa basmalah. Walau bagaimanapun, tidak harus membaca sebegini kerana ditakuti bahawa ada yang menganggap basmalah adalah salah satu ayat daripada surah yang sebelumnya. Hukum nun mati dan tanwin Nun mati atau nun saktah adalah huruf nun yang berbaris mati ( ﻥْ ) manakala tanwin adalah mana-mana huruf yang mempunyai dua baris di atas (ً ), di bawah (ٍ ) dan di hadapan (ٌ ). Terdapat empat hukum bagi nun mati dan tanwin iaitu izhar, idgham, iqlab dan ikhfa’. Hukum mim mati Mim mati mati atau mim saktah adalah mim yang berbaris mati atau sukun (ﻡْ). Terdapat tiga hukum bagi kes ini iaitu idgham mutamathilain (ﺇﺩﻏﺎﻡ ﻣﺘﻤﺎﺛﻠﻴﻦ), ikhfa’ syafawi (ﺇﺧﻔﺎﺀ ﺷﻔﻮﻱ) dan izhar syafawi (ﺇﻇﻬﺎﺭﺷﻔﻮﻱ). Hukum mim dan nun bersabdu Hukum mim dan nun bersabdu juga dikenali sebagai wajibal ghunnah (ﻭﺍﺟﺐ ﺍﻟﻐﻨﻪ) yang bermaksud diwajibkan dengung. Maka jelaslah yang bacaan bagi kedua-duanya adalah didengungkan. Hukum ini jatuh bagi setiap huruf mim dan nun yang mempunyai tanda sabdu atau bertasydid (ﻡّ dan نّ). Antara contoh ayat yang ditunjukkan adalah:ﻣِﻦَ ﺍﻟْﺠِﻨﱠﺔ ﻭَﺍﻟﻨﱠﺎﺱِ Hukum alif lam ma’rifah Alif lam ma’rifah adalah dua huruf (alif dan lam) yang ditambah pada pangkal kata nama atau isim yang menentukan maksud perkataan itu dan lain lagi. Terdapat dua jenis kes bagi alif lam ma’rifah apabila bersambung dengan ejaannya iaitu qamariah dan syamsiah. Alif lam qamariah ialah lam yang bersambung terus daripada empat belas huruf ini iaitu hamzah (ء), ba’ (ب), jim (ج), ha’ (ح), kha’ (خ), ‘ain (ع), ghain (غ), fa’ (ف), qaf (ق), kaf (ك), mim (م), wau (و), ha’ (ﮬ) dan ya’ (ي). Ini diambil sempena perkataan al-qamar (ﺍﻟﻘﻤﺮ). Dari perkataan itu, jelas cara membacanya adalah tidak memasukkaan lam ke dalam huruf selepasnya tetapi mematikannya dengan jelas lalu menyebut huruf yang seterusnya. Alif lam syamsiah ialah lam yag bersambung dengan empat belas huruf ini pula iaitu ta’ (ت), tha’ (ث), dal (د), dzal (ذ), ra’ (ر), zai (ز), sin (س), syin (ش), sod (ص), dhod (ض), tho (ط), zho (ظ), lam (ل) dan nun (ن). Ini diambil sempena perkataan asy-syamsiah (ﺍﻟﺸﻤﺴﻴﻪ). Dari perkataan tersebut, cara membacanya adalah dengan memasukkan ke dalam huruf selepas lam yang kebanyakkanya disabdukan dan lam tidak dibunyikan. Hukum idgham Idgham (ﺇﺩﻏﺎﻡ) adalah berpadu atau bercampur dua huruf atau memasukkan satu huruf ke dalam huruf yang lain. Maka, jelaslah harus dibaca dengan memasukkan bunyi huruf yang seterusnya. Terdapat tiga jenis idgham: Idgham mutamathilain (ﺇﺩﻏﺎﻡ ﻣﺘﻤﺎﺛﻠﻴﻦ – yang serupa) ialah pertemuan dua huruf yang sama sifat dan makhrajnya (tempat keluarnya) dal bertemu dal dan sebagainya. Hukum adalah wajib diidghamkan. Contoh: ﻗَﺪ ﺩَﺨَﻠُﻮاْ. Idgham mutaqaribain (ﺇﺩﻏﺎﻡ ﻣﺘﻘﺎﺭﺑﻴﻦ – yang hampir) ialah pertemuan dua huruf yang berhampiran sifat dan makhrajnya seperti ba’ bertemu mim, qaf bertemu kaf dan tha’ bertemu dzal. Contoh: ﻧَﺨْﻠُﻘڪُﻢْ Idgham mutajanisain (ﺇﺩﻏﺎﻡ ﻣﺘﺠﺎﻧﺴﻴﻦ – yang sejenis) ialah pertemuan dua huruf yang sama makhrajnya tetapi tidak sama sifatnya seperti ta’ dan tho, lam dan ra’ serta dzal dan zho. Contoh: ﻗُﻞ ﺭَﺏﱢ Hukum mad Mad bermaksud lanjut atau lebih. Dari segi istilah ulama tajwid dan ahli bacaan, mad bermaksud memanjangkan suara dengan lanjutan menurut kedudukan salah satu dari huruf mad. Terdapat dua bahagian mad iaiatu mad asli dan mad far’ie. Terdapat tiga huruf mad iaitu alif, wau, dan ya’ dan huruf tersebut haruslah berbaris mati atau saktah. Kepanjangan bacaan mad diukur dengan menggunakan harakat. Hukum ra’ Hukum ra’ adalah hukum bagaimana membunyikan huruf ra’ dalam bacaan. Terdapat tiga cara iaitu kasar atau tebal, halus atau nipis, atau harus dikasarkan dan dinipiskan. Bacaan ra’ harus dikasarkan apabila: Setiap ra’ yang berbaris atas atau hadapan. Contoh: ﺭَﺑﱢﻨَﺎ Setiap ra’ yang berbaris mati dan huruf sebelumnya berbaris hadapan atau atas. Contoh: ﻭَﺍﻻَﺭْﺽ Ra’ berbaris mati yang huruf sebelumnya berbaris bawah yang mendatang, bukan baris yang asal. Contoh: ٱﺭْﺟِﻌُﻮْﺍ Ra’ berbaris mati dan sebelumnya huruf yang berbaris bawah tetapi ra’ tadi berjumpa dengan huruf isti’la’. Contoh: ﻣِﺮْﺻَﺎﺪ Bacaan ra’ yang dinipiskan adalah apabila: Setiap ra’ yang berbaris bawah. Contoh: ﺭِﺟَﺎﻝٌ Setiap ra’ yang sebelumnya terdapat huruf lin Contoh: ﺧَﻴْﺮٌ Ra’ mati yang sebelumnya juga huruf berbaris bawah tetapi tidak berjumpa dengan huruf isti’la’. Contoh: ﻓِﺮْﻋَﻮﻦَ Bacaan ra’ yang harus dikasarkan dan dinipiskan adalah apabila setiap ra’ yang berbaris mati yang huruf sebelumnya berbaris bawah dan kemudian berjumpa dengan salah satu huruf isti’la’. Contoh: ﻓِﺮْﻕ Isti’la’ (ﺍﺳﺘﻌﻼ ﺀ): terdapat tujuh huruf iaitu kha’ (خ), sod (ص), dhod (ض), tho (ط), qaf (ق), dan zho (ظ) Qalqalah Qalqalah (ﻗﻠﻘﻠﻪ) adalah bacaan pada huruf-huruf qalqalah dengan bunyi seakan-akan berdetik. Huruf qalqalah ada lima iaitu qaf (ق), tho (ط), ba’ (ب), jim (ج), dal (د). Qalqalah terbahagi kepada dua jenis: Qalqalah kecil iaitu apabila salah satu daripada huruf qalqalah itu berbaris mati dan baris matinya adalah asli dan bukan mendatang. Contoh: ﻴَﻄْﻤَﻌُﻮﻥَ, ﻴَﺪْﻋُﻮﻥَ Qalqalah besar iaitu apabila salah satu daripada huruf qalqalah itu dimatikan dengan mendatang. Dalam keadaan ini, qalqalah dilakukan apabila wakaf padanya tetapi tidak diqalqalahkan apabila diteruskan. Contoh: ٱﻟْﻔَﻟَﻖِ, ﻋَﻟَﻖٍ Sifat huruf Sifat huruf adalah salah satu dari perkara tajwid dalam bacaan al-Quran. Sifat huruf adalah ciri yang menjelaskan perihal suatu huruf. Melalui sifatnya, seseorang itu akan mampu membezakan suatu huruf itu dengan keadaan sebutannya seperti tertahan, berdesing, melantun dan sebagainya. Kelebihan memahami sifat huruf ini adalah sebagai pelengkap kepada makhraj. Dengan mengetahui sifatnya, kita dapat membezakan lafaz sebutan bagi huruf yang makhrajnya sama. Tambahan pula, kita akan dapat mengenal huruf yang kuat dan lemah atau huruf yang dilafazkan secara tebal dan tipis kerana sifat yang wujud pada hurufnya. Sifat huruf juga membantu memperkemaskan ketepatan sebutan suatu huruf supaya dapat dilafazkan dengan betul, terutamanya bagi huruf yang hampir sama sebutannya seperti huruf tha (ث) dengan sin (س), ha’ (ح) dengan ha (ﻫ). Waqaf Waqaf dari sudut bahasa ialah berhenti atau menahan manakala dari sudut istilah tajwid pula ialah menghentikan seketika bacaan secara memutuskan suara di akhir perkataan untuk bernafas dengan niat ingin menyambungkan kembali bacaan. Terdapat empat jenis waqaf: Taamm (ﺗﺂﻡّ – wakaf sempurna) – apabila berhenti pada satu ayat yang putus, tidak berkaitan atau kena-mengena lagi dengan mana-mana kalimah atau perkataan sesudah ayat tersebut atau di hadapannya sama ada berkenaan lafaz atau makna. Kaaf (ﻛﺎﻒ – wakaf memadai) – apabila berhenti pada satu ayat yang putus tidak ada kena-mengena dengan satu-satu kalimah atau perkataan sesudah ayat tersebut atau di hadapannya pada lafaz sahaja tetapi ada kena-mengena dalam maknanya. Hasan (ﺣﺴﻦ – wakaf baik) – apabila berhenti pada satu ayat yang ada kena mengena dengan yang sesudah dan sebelumnya pada lafaz sahaja, dengan syarat yang diberhentikan itu telah memenuhi maknanya. Qabiih (ﻗﺒﻴﺢ – wakaf buruk) – apabila berhenti pada satu-satu ayat tidak sempurna maknanya yang kadang-kala ayat itu ada berkaitan dengan ayat-ayat yang sebelum dan sesudahnya sama ada pada lafaz atau pada makna. Tanda-tanda waqaf Tanda mim ( ﻤ ) dikenali sebagai Waqaf Lazim. Adalah dikehendaki berhenti seketika apabila mim muncul. Jika tidak berhenti, kebarangkalian yang maknanya berubah. Tanda tho ( ﻁ ) adalah tanda Waqaf Mutlaq dan haruslah berhenti seketika. Ia menunjukkan yang makna belum lagi dinyatakan sepenuhnya.. Tanda jim ( ﺝ ) adalah Waqaf Jaiz. Lebih elok berhenti seketika di sini walaupun tidak berhenti adalah dibenarkan. Tanda zha ( ﻇ ) bermaksud lebih elok TIDAK berhenti. Tanda sod ( ﺹ ) dikenali sebagai Waqaf Murakhkhas, menunjukkan yang tidak digalakkan berhenti walaupun berhenti dibenarkan. Perbezaan antara hukum tanda zha dan sod adalah kegunaannya, dalam kata lain, keinginan untuk berhenti adalah lebih pada tanda sod Tanda sad-lam-ya’ ( ﺻﻠﮯ ) merupakan singkatan kepada “Al-wasl Awlaa” yang bermaksud “Sambung lebih elok”. Pembaca haruslah meneruskan bacaan kerana itu lebih elok. Tanda qaf ( ﻕ ) merupakan singkatan kepada “Qeela alayhil waqf” yang bermakna “telah dinyatakan yang berhenti harus dilakukan ke atasnya”. Tidak perlu berhenti di sini. Tanda sod-lam ( ﺼﻞ ) merupakan singkatan kepadan “Qad yoosalu” yang membawa maksud “akan bersambung kadang-kala“. Kadang-kala seseorang akan berhenti manakala ada yang tidak walaupun berhenti lebih diutamakan. Tanda perkataan Qif ( ﻗﻴﻒ ) bermaksud berhenti! Ia muncul pada tempat yang kebarangkalian pembaca akan meneruskan bacaan tanpa henti. Tanda sin ( س ) atau perkataan Saktah ( ﺳﮑﺘﻪ ) menandakan berhenti seketika tanpa mengambil nafas. Dalam kata lain, pembaca haruslah berhenti seketika tanpa mengambil nafas baru untuk meneruskan ayat. Tanda Waqfah ( ﻭﻗﻔﻪ ) serupa dengan Saktah tetapi bezanya ialah waqaf pada Waqjah lebih lama berbanding Saktah. Tanda Laa ( ﻻ ) bermaksud “Jangan!“. Tanda ini muncul kadang-kala pada penghujung mahupun pertengahan ayat. Jika ia muncul di pertengahan ayat, tidak dibenarkan berhenti dan jika berada di penghujung ayat, pembaca tersebut boleh berhenti atau tidak. Tanda kaf ( ﻙ ) merupakan singkatan kepada “Kathaalik” yang bermaksud “serupa”. Dalam kata lain, tanda yang sama sebelumnya digunakan di sini. Tanda bertitik tiga ( ... ...) yang dikenali Waqaf Muraqabah (Berhenti Pemerhatian) atau Waqaf Ta’anuq (Terikat). Tanda ini kadang-kala diletakkan sekali huruf jim yang turut menjadi simbol bagi Mu’aanaqah ini. Ia akan muncul sebanyak dua kali di mana-mana saja dan cara membaca adalah Harus berhenti di salah satu tanda tersebut. Jika sudah berhenti pada tanda pertama, tidak perlu berhenti pada tanda kedua dan sebaliknya.
HUKUM TAJWID QALQALAH QALQALAH SUGHRA Lantunan yang paling rendah. Apabila huruf Qalqalah terletak di pertengahan kalimah. Tanda : Huruf Qalqalah sukun terdapat di pertengahan kalimah. QALQALAH KUBRA Lantunan yang sederhana iaitu pertengahan. Apabila memberhentikan bacaan pada huruf Qalqalah yang berada di hujung kalimah dan huruf tersebut tidak bersabdu (bertasydid). Sukun pada huruf Qalqalah di sini adalah ‘aridh yang disebabkan wakaf (berhenti) padanya. Tanda : Wakaf pada huruf Qalqalah yang tidak bersabdu. QALQALAH AKBAR Lantunan yang paling kuat. Apabila memberhentikan bacaan pada huruf Qalqalah yang berada di hujung kalimah dan huruf tersebut bersabdu (bertasydid). Sukun pada huruf Qalqalah di sini merupakan sukun yang ‘aridh (mendatang) disebabkan wakaf (berhenti) padanya. Tanda : Wakaf pada huruf Qalqalah yang bertasydid. NUN SAKINAH DAN TANWIN IQLAB Dari sudut bahasa: Menukarkan sesuatu kepada sesuatu. Dari sudut istilah Ilmu Tajwid: Menukarkan lafaz sesuatu huruf kepada huruf yang lain. Apabila Nun Sakinah atau Tanwin bertemu dengan huruf Iqlab iaitu Ba’, maka hendaklah ditukarkan Nun Sakinah atau Tanwin kepada Mim dengan disertai suara “Ghunnah” (dengung) dengar kadar panjang dua harakat. Sebab ditukarkan Nun Sakinah dan Tanwin kepada Mim tidak kepada huruf-huruf yang lain kerana Mim dan Ba’ ada persamaan antara makhraj dan sifatnya. Makhraj Mim dan Ba’ pada antara dua bibir. Sifat yang sama antara Mim dan Ba’ pula ialah Jahar, Istifal, Infitah, Idzlaq dan Ghunnah IDGHAM IDGHAM terbahagi kepada 2. IDGHAM BILA GHUNNAH Iaitu memasukkan tanpa dengung. Ia terdiri dari dua huruf iaitu Ra’ dan Lam. Apabila salah satu dari dua huruf tersebut bertemu dengan Nun Sakinah atau Tanwin dengan syarat di dalam dua kalimah yang berasingan, ia mestilah dibaca dengan Idgham Bila Ghunnah. Bacaan Idghamnya tidak disertai dengan Ghunnah (dengung). IDGHAM MA’AL GHUNNAH Apabila Nun Sakinah atau Tanwin bertemu dengan salah satu huruf-huruf Idgham Ma’al Ghunnah iaitu Ya’, Wau, Mim dan Nun dalam dua kalimah. Maka ia dibaca dengan disertai ghunnah (dengung) dengan kadar 2 harakat. IKHFA’ HAQIQI Dinamakan Ikhfa’ Haqiqi kerana pada hakikatnya dibaca dengan Ikhfa’ Nun Sakinah atau Tanwin pada kebanyakan huruf hijaiyyah. Ikhfa’ Haqiqi ada tiga martabat (peringkat): Martabat tertinggi: iaitu Ikhfa’ Nun Sakinah atau Tanwin pada huruf To’, Dal dan Ta’ kerana makhrajnya paling hampir dengan Nun Sakinah. Martabat pertengahan: iaitu Ikhfa’ Nun Sakinah atau Tanwin pada huruf Tha’, Jim, Dzal, Zai, Sin, Syin, Shad, Dhad, Zha’ dan Fa’ kerana makhrajnya di pertengahan (iaitu antara martabat tertinggi dengan martabat terendah) Nun Sakinah. Martabat terendah: iaitu Ikhfa’ Nun Sakinah atau Tanwin pada Qaf dan kaf kerana makhrajnya berjauhan dengan Nun Sakinah. Perhatian: Ikhfa’ Nun Sakinah juga berlaku pada huruf pembukaan surah seperti yang disenaraikan di bawah ini: Surah Maryam: 1 Surah al-Syura: 2 Surah al-Naml: 1 dan 2 (sekiranya dibaca wasal pada ayat 1 dan 2). Bunyi ghunnah atau dengung bagi hukum Ikhfa’ Haqiqi ada dua keadaan: Tafkhim (sekiranya Nun Sakinah atau Tanwin bertemu dengan huruf-huruf Ikhfa’ yang bersifat isti’la’ seperti huruf Shad, Dhad, To’, Zha’, dan Qaf). Tarqiq (sekiranya Nun Sakinah atau Tanwin bertemu dengan huruf-huruf Ikhfa’ yang tidak bersifat isti’la’ iaitu selain dari huruf-huruf yang telah disebutkan di atas). MIM NUN BERSABDU MIM BERSABDU Mim bersabdu pada asalnya terdiri dari dua Mim, pertama sukun dan kedua berbaris. Mim Sukun dimasukkan ke dalam Mim yang berbaris sehingga kedua-duanya membentuk satu huruf yang bersabdu. Hukum Mim yang bersabdu adalah wajib dibaca secara Ghunnah (menzahirkan dengungnya) dengan kadar dua harakat. NUN BERSABDU Nun yang bersabdu pada asalnya terdiri dari dua huruf Nun, iaitu huruf yang pertama sukun dan yang kedua berbaris. HUKUM MAD MAD FAR’IE Mad Far’ie terbahagi kepada 8. Mad ‘Aridh Lil Sukun Dinamakan Mad ‘Aridh Lil Sukun kerana terdapat sukun yang mendatang selepas huruf Mad ketika waqaf. Dibaca 2 harakat kerana pada asalnya ia adalah Mad Asli, dibaca 4 harakat (iaitu martabat pertengahan bagi kadar Mad) kerana seumpama berhimpun dua huruf sukun serta meraikan keadaan asal dan dibaca 6 harakat kerana menyerupai Mad Lazim. Mad Badal Mad Badal ialah huruf Hamzah berada sebelum huruf Mad di dalam satu kalimah dan tidak terdapat huruf Hamzah atau Sukun selepas huruf Mad. Ia dinamakan dengan Mad Badal kerana Huruf Mad tersebut adalah gantian daripada Hamzah. Huruf Hamzah kedua ditukar kepada huruf Mad mengikut baris huruf Hamzah pertama untuk meringankan bacaan. Mad Badal terjadi dalam 4 keadaan: Mad Badal yang terjadi ketika permulaan dan wasal. Mad Badal yang terjadi ketika wasal sahaja. Mad Badal yang terjadi ketika waqaf sahaja. Mad Badal yang terjadi ketika memulakan bacaan dengannya sahaja (ibtida’). Kadar bacaannya adalah 2 harakat. Mad ‘Iwad Berlaku ketika wakaf pada akhir kalimah yang berbaris dua di atas kecuali pada huruf Ta’ Marbutah. Ia wajib dibaca dengan kadar 2 harakat kerana ia adalah Mad Tabi’ie yang terjadi kerana waqaf. Mad Jaiz Munfashil Mad Jaiz Munfashil terjadi apabila Huruf Mad bertemu Hamzah dalam dua kalimah iaitu ketika wasal sahaja. Dinamakan Mad Jaiz Munfashil kerana sebahagian daripada Imam-imam Qiraat membolehkan ianya dibaca lebih daripada kadar Mad Asli dan dinamakan Munfashil kerana Huruf Mad dan Hamzah berada di dalam dua kalimah yang berasingan. Kadar harakatnya harus dibaca 4 atau 5 harakat. Mad Jaiz Munfashil ada dua keadaan dalam al-Quran berdasarkan kepada kaedah Resam al-Quran: Mad Jaiz Munfashil Haqiqi iaitu kelihatan jelas terpisah antara Huruf Mad dan Hamzah dalam dua kalimah yang berpisah antara keduanya. Mad Jaiz Munfashil Hukmi iaitu tidak kelihatan secara jelas Huruf Mad dan Hamzah berpisah dalam dua kalimah. Ia seolah-olah dalam satu kalimah. Keadaan ini berlaku pada dua situasi: Ya’ al-Nida’ (kata seruan) apabila selepasnya ada kalimah yang dimulai dengan Hamzah. Ha’ Lil Tanbih apabila selepasnya terdapat Isim Isyara. Mad Liin Mad Liin terjadi apabila Huruf Liin bertemu dengan sukun yang mendatang ketika waqaf sahaja. Ia boleh dibaca dengan kadar harakat 2, 4 dan 6. Dinamakan Mad Liin kerana ia terjadi pada Huruf Lin dan boleh dibaca dengan kadar 2, 4 dan 6 kerana ia sebahagian daripada Mad ‘Aridh Lil Sukun. Mad Silah Qasirah Mad silah ialah Mad yang terdapat pada Ha’ Dhomir. Cara mengenalnya ialah apabila terdapat Ha’ Dhomir pada akhir kalimah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris dan selepasnya juga terdapat huruf yang berbaris. Mad Silah Qasirah ialah mad yang terdapat pada ha’ dhomir iaitu selepas ha’ tidak ada hamzah qat’ie. Mad Silah Towilah Mad silah ialah Mad yang terdapat pada Ha’ Dhomir. Cara mengenalnya ialah apabila terdapat Ha’ Dhomir pada akhir kalimah, sebelumnya terdapat huruf yang berbaris dan selepasnya juga terdapat huruf yang berbaris. Untuk mengenali Mad Silah Towilah, kita cuma perlu memerhatikan selepas ha’ terdapat Hamzah Qat’ie

0 komentar:

Copyright © 2012 PROFELECT BERBAGI ILMU.